Sahabat SPRM

Sunday, 22 October 2017

Daftarlah menjadi sahabat Gerah SPRM, berjuang bersama SPRM

Sahabat Gerah SPRM memberi peluang kepada masyarakat bersama dengan SPRM dengan menjadi mata dan telinga SPRM dalam usaha pencegahan rasuah.

Masyarakat juga turut diajak menyumbang tenaga dan buah fikiran serta bertindak sebagai ejen SPRM untuk menyebarluaskan mesej antirasuah bagi memastikan rasuah diperangi habis-habisan.

Rasuah merupakan jenayah yang agak sukar dikesan jika tiada kerjasama dan penglibatan masyarakat. Ini kerana tiada mangsa yang terlibat. Yang memberi rasuah mendapat sesuatu, manakala yang menerima rasuah mendapat habuannya juga. Ahli masyarakat yang lainlah mangsa sebenar rasuah. Akhirnya, negara yang rugi.

Empayar Kesultanan Melaka yang gah dengan kehebatan pahlawan dan pendekar akhirnya jatuh ke tangan Portugis pada 1511 bukan kerana ketiadaan senjata atau kudrat pahlawan tetapi ia dirobohkan sedikit demi sedikit lantaran rasuah, oleh mereka yang sepatutnya menjaga kedaulatan empayar tersebut.

Kejatuhan Kesultanan Melaka dikatakan ekoran sogokan wang dan hadiah daripada tentera-tentera Portugis kepada pegawai-pegawai tertentu yang bertugas di Istana Sultan Melaka ketika itu.

Begitu juga dengan pembinaan Tembok Besar China. Mereka membina tembok besar dengan anggapan tiada siapa mampu memanjatnya kerana terlalu tinggi. Namun hakikatnya dalam seratus tahun pertama sahaja mereka diserang sebanyak tiga kali; setiap kali musuh hendak menyerang, mereka tidak perlu bersusah payah berusaha untuk merobohkan atau memanjat tembok besar, mereka hanya perlu merasuahi para pengawal dan dengan mudahnya masuk melalui pintu.


Sememangnya rasuah bukanlah satu isu yang baharu.

Perang menentang rasuah sudah lama dijalankan dan jenayah ini juga sudah wujud sejak bermulanya peradaban manusia.

Mereka yang masih mengamalkan jenayah rasuah perlulah segera bertaubat. Apa yang anda lakukan bukan sahaja merosakkan maruah diri tetapi juga menghakis kepercayaan masyarakat terhadap organisasi tempat anda bekerja, sama ada swasta atau kerajaan.

Kerana rasuah juga berkemungkinan keluarga kita juga menerima kesan yang sangat besar akibat perbuatan rasuah anda. Bukan itu sahaja, imej negara juga akan rosak dan tercemar di mata dunia.

Rasuah boleh dianggap seperti anai-anai yang boleh meruntuhkan bangunan yang kuat dan mantap. Jika tidak ditangani dengan betul dan dibiarkan berleluasa, anai-anai akan terus memakan tiang, dinding, bumbung dan lantai bangunan sehingga akhirnya tidak ada lagi bahagian yang kukuh dan bangunan pun ranap menyembah bumi.

Sebagaimana rasuah yang mungkin sukar dikesan, kita juga tidak dapat melihat anai-anai yang berselindung di sebalik binaan rumah. Tanpa kewaspadaan yang tinggi, kita mungkin hanya akan tersedar bila sudah terlambat.

Umum perlu tahu bahawa kegagalan melaporkan pemberian, janji atau tawaran rasuah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Begitu juga dengan kegagalan melaporkan permintaan atau memperoleh suapan yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Marilah kita sebagai rakyat Malaysia membantu SPRM memerangi rasuah, musuh nombor satu negara.


Penulis sudah, anda bagaimana? Sudahkah mendaftar menjadi Sahabat Gerah SPRM?

Tuesday, 17 October 2017

Melangkahlah ke hadapan, tabah menghadapi dugaan





Selepas beratus-ratus kes berprofil tinggi berjaya dibongkar oleh SPRM, penyelewengan dana di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dari 2009 hingga 2015 pula terdedah.

Siasatan awal SPRM mendapati kira-kira RM1.5 bilion peruntukan kerajaan diseleweng dalam tempoh tersebut. 

SPRM membekukan sembilan akaun membabitkan wang berjumlah RM180 juta termasuk menahan tiga suspek yang dipercayai ada kaitan dengan seorang bekas menteri.

Geleng kepala dibuatnya, sambil tertanya-tanya apa sudah jadi dan di mana silapnya.

Kes terbaru SPRM ini bukan sahaja mengejutkan malah tidak boleh diterima kerana ia pengkhianatan besar ke atas dana awam, yang kalau di negara China, hukumannya sangat berat. 

Tahniah kepada SPRM atas kejayaan terbaru ini dan bongkarlah habis-habisan.

Dalam kejayaan SPRM tersebut, penulis dikhabarkan dengan cubaan pembunuhan karektor ke atas pegawai SPRM terutamanya Pegawai Kanan SPRM sebagaimana tular sejak beberapa hari lalu.

Apatah lagi, buat pertama kali dalam sejarah negara, SPRM memberi impak besar dalam memerangi rasuah sejak sejak kebelakangan ini.

Tindakan SPRM yang  dilihat keras kepada perasuah menyebabkan suruhanjaya itu tidak disukai golongan tersebut namun disenangi rakyat akar umbi kerana itulah jeritan harapan mereka.

Inilah antara cabaran dalam melawan rasuah dan salah guna kuasa yang berdepan dengan kompleksiti di serata dunia yang sukar dijelaskan. 

Sesiapa yang lantang dan bersungguh-sungguh menentang rasuah dan jenayah mudah terdedah kepada sasaran malah  mudah pula menjadi mangsa.

Semoga semua pegawai SPRM tabah menghadapi dugaan. Melangkahlah ke hadapan dan jangan pandang belakang.

Sunday, 15 October 2017

SPRM bukan ahli politik dan bukannya juga semberono


“Aku tidak mahu darah dan daging anak bangsaku
Bertasbih lara di sejadah panjang menghala ke neraka
Aku tidak mahu anak bangsaku
Lahir dari adunan benih seorang perasuah
Aku tidak mahu darah daging anak bangsa
Menjurai duit haram mengalir darah dosa ibu bapa
Yang celik tapi buta matanya kerana tiupan dan belai manis rasuah.”

Mungkin bait-bait puitis dalam puisi ciptaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad ini amat bersesuaian sekali dengan gambaran perjuangan agensi itu dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

50 tahun penubuhan BPR/SPRM menempuh pelbagai cabaran namun sama ada mahu diakui tidak, nama agensi itu semakin digeruni dan mula meniti di bibir rakyat apabila Dzulkifli mengambil alih teraju kepemimpinannya dengan dibantu oleh Timbalannya, Datuk  Seri Azam Baki.



Pendekatan Dzulkifli yang dilihat tegas, drastik dan disulami elemen-elemen kejutan memungkinkan SPRM kini dianggap agensi paling digeruni di negara kita.

Namun begitu perjuangan SPRM masih panjang. Agensi itu perlu membuktikan kewujudannya masih relevan sekurang-kurangnya untuk tempoh 50 tahun akan datang. Bagaimanapun berdasarkan tekad, azam dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh agensi tersebut, ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Ia memandang­kan dalam melaksanakan tanggungjawabnya, agensi melakukan tindakan tanpa pilih kasih.

Bermula dengan penjawat awam khususnya penguat kuasa, agensi itu turut memburu petualang-petualang rasuah di dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Tidak terlepas daripada panda­ngan agensi itu ialah ahli politik.

Tiada yang terselamat jika ada antara mereka melakukan rasuah atau salah guna kuasa.

Tidak kira ahli politik kerajaan mahupun pembangkang, semuanya pasti berada dalam pemantauan dan genggaman agensi tersebut.

Pada masa sama, rakyat turut dirangkul untuk bersama-sama SPRM memerangi rasuah. Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) dicetuskan oleh Dzulkifli.

Beliau menghabiskan masa berhari-hari menjelajah ke seluruh pelosok negara untuk mendapat sokongan rakyat bagi tujuan murni itu.

Pelbagai acara diatur bagi mendekatkan rakyat dengan ma­syarakat. Kehadiran rombo­ngan SPRM dengan sebuah bas khas menarik perhatian rakyat.

Mereka mengagumi pendekatan tersebut yang dilihat akan berupaya menjayakan misi menjadikan ‘SPRM mesra rakyat, digeruni perasuah’.

Selama ini, mungkin bagi generasi lama mereka hanya mendengar sahaja nama BPR manakala generasi baharu hanya mengetahui SPRM wujud, tetapi mereka tidak berpeluang mengenali dengan lebih dekat dan paling penting bagaimana untuk bersama-sama ‘bahtera’ SPRM memerangi rasuah.

Kini melalui pendekatan mesra rakyat itu yang diterjemahkan melalui Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017(KEJAR’17), ia memungkinkan SPRM bukan sekadar dikenali melalui berita-berita berhubung ketegasannya tetapi rakyat berpeluang bersemuka dengan kepemimpinan agensi itu secara langsung.

Semua itu, SPRM lakukan kerana mahu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya. Misi itu hanya boleh tercapai jika agensi itu tidak ganggu apatah lagi diseret dalam sebarang kontroversi atau polemik.

Jika semua pihak benar-benar mahu melihat negara ini bebas daripada gejala rasuah, maka sokongan padu harus diberikan kepada agensi tersebut. Tidak perlu membuat kenyataan yang seolah-olah mahu memperkecilkan kewibawaan dan kemampuan agensi tersebut.

Apa yang paling ketara ialah sikap golongan yang sinikal. Satu ketika dahulu mereka begitu beria-ia menyokong SPRM. Mereka mahu SPRM bebas dan berfungsi dengan sebenar-benarnya dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Tetapi apabila ada dalam kalangan mereka ditahan dan didakwa, mulalah nada mereka berubah.

Malah SPRM tidak semena-mena mula mahu diseret secara perlahan-lahan untuk terlibat dalam polemik politik dan fitnah semata-mata, sedangkan apa juga yang dilakukan oleh agensi itu adalah berdasarkan kepada bukti, bukannya semberono.

Seperti mana pernah ditegaskan berkali-kali, kepemimpinan SPRM bukan ahli politik, mereka tidak tahu berpolitik dan SPRM bukan parti politik.

Oleh itu langkah melihat tindakan SPRM ke atas ahli-ahli politik dari sudut politik adalah tidak wajar.

Ia memandangkan agensi itu melaksanakan tugasnya dengan profesional.

Walaupun menghadapi kekangan khususnya dari segi tenaga, namun SPRM terus melangkah dalam usaha memastikan negara bebas daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Apapun kepada SPRM, teruskanlah perjuangan untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan dalam usaha untuk memastikan jenayah tersebut tidak terus menghantui negara.








Thursday, 28 September 2017

Coraklah generasi benci rasuah


Mengambil kira gejala rasuah yang semakin membimbangkan terutamanya dalam kalangan golongan belia, penulis berpandangan usaha untuk membanteras dan mencegah rasuah perlu lebih berfokus kepada kumpulan sasaran dengan mengutamakan elemen ilmu dan pendidikan.

Misalnya, peringkat pertama ialah di rumah dan keluarga masing-masing.

Setiap anak yang dilahirkan adalah umpama kain putih yang bersih, ibu bapa yang bakal menentukan warnanya dan mencorakkan masa depan mereka.

Justeru ibu bapa perlu menerapkan budaya benci rasuah sejak anak itu kecil lagi dan ini perlu berlaku dalam setiap keluarga.

Selepas itu barulah kita wajar letakkan tanggungjawab yang lebih besar dan spesifik kepada pihak sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).

Anak-anak yang diterapkan dengan budaya membenci rasuah di rumah boleh dilentur lagi di peringkat sekolah pula dengan ilmu dan pendidikan yang lebih formal dan berstruktur.

Dalam konteks ini, pihak sekolah perlu lebih kreatif dalam menerapkan rasa benci kepada rasuah.

Gunakan segala pendekatan yang interaktif dan menarik supaya anak murid faham untuk katakan tidak kepada rasuah.

Peringkat berikutnya adalah tanggungjawab pihak IPT pula. Usaha menerap budaya benci rasuah perlu disahut dan dipertingkatkan lagi di peringkat IPT yang bakal menjadi destinasi terakhir belia kita sebelum melangkah ke dunia pekerjaan. Mereka perlu disedarkan risiko terlibat dalam rasuah baik terhadap diri sendiri, keluarga mahupun kerjaya dan masa depan secara keseluruhannya.

Maka IPT dan pensyarah juga ada peranan besar dalam hal ini.

Usaha membanteras, mencegah dan mendidik perlu dilaksanakan pada peringkat organisasi masing-masing melibatkan pekerja dan setiap anggota organisasi baik awam mahupun swasta.

Setiap pekerja perlu didedahkan kesan penyele­wengan, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah dari hari pertama mereka lapor diri untuk bekerja. Amaran keras dan peringatan perlu diberikan dari hari pertama lagi.

Contoh-contoh penyelewengan dan salah guna kuasa juga perlu diterangkan secara terperinci mengikut skop tugas setiap pekerja supaya mereka jelas dan faham tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan.

Jika semua pihak dapat melaksanakan peranan masing-masing di setiap peringkat kehidupan iaitu sejak lahir hingga masuk ke alam pekerjaan yang kemudiannya akan disusuli dengan inisiatif dari pihak berkuasa, penulis percaya impian untuk menjadi negara bebas rasuah tidak mustahil dicapai.

Tapi perlu diingatkan syaratnya ialah proses pencegahan dan pendidikan perlu berlaku di setiap peringkat dengan baik.

Marilah kita memasang tekad untuk mengamalkan nilai-nilai murni dan positif seterusnya melahirkan warga yang berintegriti tinggi dalam setiap amalan harian.

Monday, 11 September 2017

Bertindaklah SPRM demi Alam Sekitar yang telah digadai


Meskipun dengan kesibukan jadual harian, adalah perlu untuk kita meluangkan sedikit masa berfikir dan bertanya apa yang patut dilakukan untuk menangani pelbagai ancaman alam sekitar yang dihadapi di bumi ini.

Hakikatnya, manusia sendiri telah memusnahkan alam semula jadi yang begitu diperlukan demi kestabilan bumi dan generasi akan datang. Malangnya, perlakuan itu jarang-jarang sekali direnungkan bersama.

Manusia telah mencapai kedudukan yang aneh di mana walaupun ramai orang dari pelosok bumi keluar untuk melindungi alam sekitar namun masalah ini masih tidak dapat ditangani.

Kita telah banyak mengalami banjir kilat dan tanah runtuh dan pengajaran dari bencana lepas ini masih belum dipelajari dan diserap.

Sebagai pemegang amanah kepada sumber planet dan kepelbagaian geobiologi, kita perlu menggunakan sumber asli kita dengan cara yang betul dengan memastikan pemuliharaannya. Sebagai pemegang amanah, ia akan memaksa kita untuk mengekang tindakan kita dengan kesederhanaan dan keseimbangan.

Bahkan isu pencemaran semakin menjadi-jadi di negara ini dan dilihat tiada kesudahannya sehingga mendatangkan pelbagai kesan negatif termasuk kemusnahan alam sekitar serta kesihatan umum.

Permasalahan ini menjadi lebih buruk dengan pembabitan agensi sepatutnya dipertanggungjawabkan memelihara kesejahteraan alam sekitar namun bertindak sebagai tali barut demi kepentingan wang.

Jika diteliti, beberapa kes alam sekitar yang didedahkan di akhbar-akhbar seperti semuanya melibatkan agensi penguat kuasa.

Sehubungan itu, langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak pantas melakukan siasatan berhubung kes pencemaran alam sekitar membabitkan aktiviti perlombongan bauksit dan pembalakan haram yang berlaku di Malaysia adalah wajar.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pasukan penyiasat SPRM sedang mengumpul serta mendapatkan maklumat mengenai kegiatan tersebut yang dipercayai berlaku di beberapa buah negeri.

“Jika didapati wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa, kita akan mengambil tindakan terhadap penjenayah-penjenayah alam sekitar yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai isu alam sekitar yang didedahkan mempunyai kaitan dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa sehingga dalang yang melakukan pencemaran dan kerosakan kepada alam sekitar terus bermaharajalela tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Malah, individu-individu tidak bertanggungjawab ini akan terus mengambil kesempatan sehingga tidak gentar melakukan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dan memudaratkan orang ramai jika tiada tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Sedarlah sejarah mengajar kita manusia tentang peradaban dan ini akan dimusnahkan jika tidak berdamai dengan alam sekitar. Tiada siapa yang boleh menafikan kepentingan alam sekitar berhubung dengan peradaban.

Bolehkah sesuatu yang dilakukan untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar?

Lebih menyedihkan, apa yang berlaku menunjukkan gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa bukan lagi perkara kecil malah ia semakin merebak dan mungkin sudah membarah dalam sesetengah agensi dengan bertindak sebagai tali barut demi kepentingan wang.

Justeru tindak SPRM amatlah tepat. Bersihkanatas agensi-agensi penguat kuasa kita. Kita percaya ramai lagi dalam kalangan anggota penguat kuasa yang jujur dan amanah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Tetapi kelompok ini turut terseret sama disebabkan segelintir anggota penguat kuasa yang terus mahu 'menghidangkan' rezeki haram kepada isteri dan keluarga mereka. Apapun mereka yang terlibat perlu bersedia menerima padahnya kerana penulis yakin golongan itu sudah pasti ada dalam radar SPRM.




Friday, 8 September 2017

RASUAH MENJADI AMALAN?


Perbuatan rasuah atau penyelewengan dana yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi merupakan perbuatan keji yang bukan sahaja dikutuk oleh masyarakat bahkan Islam melaknatkan pelakunya.

Islam memandang berat perbuatan rasuah kerana ia boleh memusnahkan negara dan menghancurkan etika bermasyarakat.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 188, Allah SWT memberikan ketegasan mengenainya:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Muhamad Bakr Ismail dalam al-Feqhul Wahdih misalnya mentakrifkan rasuah sebagai “sesuatu yang disogokkan kepada penzalim untuk mengambil hak yang bukan miliknya, atau untuk menghilangkan hak yang empunya sama ada atas motif dendam atau penipuan dengannya, dan mendapatkan satu kedudukan yang tidak sepatutnya atau pekerjaan yang dia tidak berkelayakan.”

Ulama tersohor pada masa kini, Yusof al-Qardhawi dalam kitab al-Halal wal Haram Fil Islam menukilkan perbuatan rasuah itu “termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil, iaitu menerima rasuah atau makan suap. Rasuah ialah wang diberikan kepada penguasa atau pegawai supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya agar menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada sesuatu kepentingan dan sebagainya.”

Berdasarkan takrifan berkenaan, kedua-kedua kes yang sedang berlegar dalam masyarakat itu tidak dapat dikaitkan dengan gejala rasuah?

Rasullullah SAW ketika menghuraikan keburukan rasuah bersabda: “Pemberi rasuah, penerima rasuah & orang perantaraan menguruskan rasuah (orang tengah) semuanya sama akan dimasukkan ke dalam neraka.”

Neraka merupakan tempat di mana mereka yang melakukan kesalahan dan mengingkari perintah Allah SWT akan ditempatkan, termasuklah yang terbabit dengan gejala rasuah.

Perbuatan rasuah dikaitkan dengan sikap penerimanya yang mahukan kemewahan melampaui kemampuan manakala si pemberinya memperoleh keuntungan mudah atau “MEMADAMKAN” kesalahan yang dilakukan.

Misalnya, seorang penunggang motosikal bersedia memberikan sogokan berupa wang kepada anggota polis yang menahannya kerana kenderaan dan penunggangnya tidak mempunyai lesen yang sah.

Akibat tidak mempunyai lesen yang sah, kesalahan itu akan menyebabkan penunggang motosikal didakwa di mahkamah. Proses pendakwaan sehinggalah keputusan dibuat, memerlukan perbelanjaan yang besar dan masa yang lama.

Si pemberi rasuah biasanya mahukan sesuatu urusan hariannya dengan cepat tetapi dalam masa yang sama berusaha melangkaui peraturan dan norma yang sepatutnya.

Si penerima rasuah pula sanggup “MENGETEPIKAN PERATURAN” sekiranya ganjaran diberikan sedangkan beliau sebenarnya sudah dibayar gaji untuk melaksanakan tugas berkaitan.

Budaya tersebut perlu dibenteras dan Islam memandang ia sebagai satu bentuk jihad yang boleh mengembalikan maruah dan keadilan.

Budaya rasuah menjadi suatu bentuk pengkhianatan di mana rakyat yang tidak mempunyai sumber dan keupayaan tidak akan memperoleh sesuatu perkhidmatan yang sepatutnya mereka dapat.

Bila rasuah menjadi amalan, ia akan merosakkan negara dan menghancurkan institusi masyarakat.

Sunday, 30 July 2017

Tora-tora datang lagi putar belit isu JANS


Di tular lagi mengenai laporan yang mendakwa kenyataan daripada SPRM bahawa isu penahanan bekas Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah atas dakwaan menyeleweng dana infrastruktur air tidak membabitkan perbuatan rasuah.

Pelbagai komen jelik dan sinikal yang dibuat oleh segelintir masyarakat tentang SPRM. Banyak juga yang mengutuk suruhanjaya itu walaupun tidak mengetahui kesahihan kenyataan itu dan tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Bagi pengguna laman sosial yang rasional dan membaca berita sahih, mereka memberi komen positif kerana tidak terpengaruh dengan artikel palsu terutama yang mempunyai agenda memburuk-burukkan SPRM.

Penularan  yang itu berpunca daripada penyebaran sebuah artikel palsu daripada blogger Milo Suam pada penghujung Januari 2017 lalu. 

Logiknya artikel yang disiarkan oleh Milo Suam hanyalah dipetik dari kenyataan parti politik tersebut sahaja tanpa merujuk hal tersebut kepada SPRM. Blogger Milo Suam juga tidak langsung memberikan cadangan atau bukti baharu kepada SPRM, malah dia sendiri tiada kaitan dengan kes berkenaan. 

Maka kenapakah beliau memalsukan perkembangan JANS yang telah telah disiarkan di surat khabar, televisyen, blog dan semua laman sosial terutamanya Facebook?

Hari ini menerusi satu kenyataan medianya, SPRM sekeras-kerasnya menafikan kononnya sudah mengesahkan tidak terdapat unsur rasuah dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah.


Kenyataan dibuat selepas khabar angin itu tular semula di media sosial yang dibimbangi mengelirukan orang ramai.

Dalam kenyataan itu juga, SPRM memohon semua pihak agar tidak mengambil kesempatan memutarbelitkan kes berkenaan.

SPRM juga akan memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih di media sosial bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Pengurusan tertinggi suruhanjaya itu pada masa sama sedang menimbang untuk membuat aduan polis terhadap pihak yang menyebar khabar angin berkenaan.

Bagi penulis, SPRM telah bertindak profesional dengan menjelaskan secara terperinci isu JANS menerusi kenyataan media hari ini walaupun sebenarnya tidak perlu.

Bagaimanapun bagi golongan yang suka memburuk-burukkan suruhanjaya itu, mereka akan tetap mencari peluang meneruskan agenda itu tidak kiralah SPRM memberi penjelasan berjuta-juta kali.

Apa sahaja motif penyebaran berita palsu tersebut tidak diketahui, namun perbuatan itu berjaya mempengaruhi minda segelintir masyarakat sehingga sanggup berprasangka negatif terhadap SPRM.

Tidak dapat dinafikan lagi kes membabitkan Jabatan Air Sabah ini paling mendapat tumpuan rakyat Malaysia kerana bukan sahaja melibatkan aset melebihi RM180 juta yang dirampas, malah turut membabitkan wang tunai RM52 juta yang ditemukan di kediaman suspek.

Sejak kes tersebut didedahkan SPRM pada awal Oktober, suruhanjaya berkenaan telah bekerja keras siang malam melakukan siasatan termasuk bersengkang mata meneliti dokumen yang setinggi dua tingkat bagi memastikan suspek dibawa ke muka pengadilan kerana itu jugalah yang dimahukan oleh masyarakat suspek didakwa.

Maka pada 29 Disember lalu, selepas tiga bulan menjalankan siasatan, tiga orang tertuduh iaitu bekas pengarah, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 54; isterinya, Fauziah Piut, 51, serta bekas timbalan pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng, 62, telah dituduh di Mahkamah Sesyen.

Ketiga-tiganya berdepan dengan 35 pertuduhan penyelewengan dana sebanyak RM61.48 juta di bawah Seksyen 4(1)(b) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan sudah pun dibuat, jadi adakah segelintir masyarakat masih mahu menuduh macam-macam kepada SPRM lebih-lebih lagi kononnya kes tersebut tiada unsur rasuah? Sebagai rakyat yang prihatin, kita perlu menghargai usaha SPRM yang bekerja keras membanteras gejala rasuah di seluruh negara sehingga mereka terpaksa mengorbankan waktu bersama keluarga demi tugas.

Janganlah mudah terpengaruh dengan laporan berita palsu atau khabar angin di media sosial sebaliknya luangkan sedikit masa untuk mencari maklumat-maklumat yang sahih.

Bersama Pejuang Gerakan Revolusi Anti Rasuah, bukan hanya sekadar menjadi sinikal.


Rasuah ‘MUSUH’ nombor 1 negara.