Sahabat SPRM

Sunday, 30 July 2017

Tora-tora datang lagi putar belit isu JANS


Di tular lagi mengenai laporan yang mendakwa kenyataan daripada SPRM bahawa isu penahanan bekas Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah atas dakwaan menyeleweng dana infrastruktur air tidak membabitkan perbuatan rasuah.

Pelbagai komen jelik dan sinikal yang dibuat oleh segelintir masyarakat tentang SPRM. Banyak juga yang mengutuk suruhanjaya itu walaupun tidak mengetahui kesahihan kenyataan itu dan tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Bagi pengguna laman sosial yang rasional dan membaca berita sahih, mereka memberi komen positif kerana tidak terpengaruh dengan artikel palsu terutama yang mempunyai agenda memburuk-burukkan SPRM.

Penularan  yang itu berpunca daripada penyebaran sebuah artikel palsu daripada blogger Milo Suam pada penghujung Januari 2017 lalu. 

Logiknya artikel yang disiarkan oleh Milo Suam hanyalah dipetik dari kenyataan parti politik tersebut sahaja tanpa merujuk hal tersebut kepada SPRM. Blogger Milo Suam juga tidak langsung memberikan cadangan atau bukti baharu kepada SPRM, malah dia sendiri tiada kaitan dengan kes berkenaan. 

Maka kenapakah beliau memalsukan perkembangan JANS yang telah telah disiarkan di surat khabar, televisyen, blog dan semua laman sosial terutamanya Facebook?

Hari ini menerusi satu kenyataan medianya, SPRM sekeras-kerasnya menafikan kononnya sudah mengesahkan tidak terdapat unsur rasuah dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah.


Kenyataan dibuat selepas khabar angin itu tular semula di media sosial yang dibimbangi mengelirukan orang ramai.

Dalam kenyataan itu juga, SPRM memohon semua pihak agar tidak mengambil kesempatan memutarbelitkan kes berkenaan.

SPRM juga akan memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih di media sosial bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Pengurusan tertinggi suruhanjaya itu pada masa sama sedang menimbang untuk membuat aduan polis terhadap pihak yang menyebar khabar angin berkenaan.

Bagi penulis, SPRM telah bertindak profesional dengan menjelaskan secara terperinci isu JANS menerusi kenyataan media hari ini walaupun sebenarnya tidak perlu.

Bagaimanapun bagi golongan yang suka memburuk-burukkan suruhanjaya itu, mereka akan tetap mencari peluang meneruskan agenda itu tidak kiralah SPRM memberi penjelasan berjuta-juta kali.

Apa sahaja motif penyebaran berita palsu tersebut tidak diketahui, namun perbuatan itu berjaya mempengaruhi minda segelintir masyarakat sehingga sanggup berprasangka negatif terhadap SPRM.

Tidak dapat dinafikan lagi kes membabitkan Jabatan Air Sabah ini paling mendapat tumpuan rakyat Malaysia kerana bukan sahaja melibatkan aset melebihi RM180 juta yang dirampas, malah turut membabitkan wang tunai RM52 juta yang ditemukan di kediaman suspek.

Sejak kes tersebut didedahkan SPRM pada awal Oktober, suruhanjaya berkenaan telah bekerja keras siang malam melakukan siasatan termasuk bersengkang mata meneliti dokumen yang setinggi dua tingkat bagi memastikan suspek dibawa ke muka pengadilan kerana itu jugalah yang dimahukan oleh masyarakat suspek didakwa.

Maka pada 29 Disember lalu, selepas tiga bulan menjalankan siasatan, tiga orang tertuduh iaitu bekas pengarah, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 54; isterinya, Fauziah Piut, 51, serta bekas timbalan pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng, 62, telah dituduh di Mahkamah Sesyen.

Ketiga-tiganya berdepan dengan 35 pertuduhan penyelewengan dana sebanyak RM61.48 juta di bawah Seksyen 4(1)(b) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan sudah pun dibuat, jadi adakah segelintir masyarakat masih mahu menuduh macam-macam kepada SPRM lebih-lebih lagi kononnya kes tersebut tiada unsur rasuah? Sebagai rakyat yang prihatin, kita perlu menghargai usaha SPRM yang bekerja keras membanteras gejala rasuah di seluruh negara sehingga mereka terpaksa mengorbankan waktu bersama keluarga demi tugas.

Janganlah mudah terpengaruh dengan laporan berita palsu atau khabar angin di media sosial sebaliknya luangkan sedikit masa untuk mencari maklumat-maklumat yang sahih.

Bersama Pejuang Gerakan Revolusi Anti Rasuah, bukan hanya sekadar menjadi sinikal.


Rasuah ‘MUSUH’ nombor 1 negara.
Post a Comment