Sahabat SPRM

Monday, 11 September 2017

Bertindaklah SPRM demi Alam Sekitar yang telah digadai


Meskipun dengan kesibukan jadual harian, adalah perlu untuk kita meluangkan sedikit masa berfikir dan bertanya apa yang patut dilakukan untuk menangani pelbagai ancaman alam sekitar yang dihadapi di bumi ini.

Hakikatnya, manusia sendiri telah memusnahkan alam semula jadi yang begitu diperlukan demi kestabilan bumi dan generasi akan datang. Malangnya, perlakuan itu jarang-jarang sekali direnungkan bersama.

Manusia telah mencapai kedudukan yang aneh di mana walaupun ramai orang dari pelosok bumi keluar untuk melindungi alam sekitar namun masalah ini masih tidak dapat ditangani.

Kita telah banyak mengalami banjir kilat dan tanah runtuh dan pengajaran dari bencana lepas ini masih belum dipelajari dan diserap.

Sebagai pemegang amanah kepada sumber planet dan kepelbagaian geobiologi, kita perlu menggunakan sumber asli kita dengan cara yang betul dengan memastikan pemuliharaannya. Sebagai pemegang amanah, ia akan memaksa kita untuk mengekang tindakan kita dengan kesederhanaan dan keseimbangan.

Bahkan isu pencemaran semakin menjadi-jadi di negara ini dan dilihat tiada kesudahannya sehingga mendatangkan pelbagai kesan negatif termasuk kemusnahan alam sekitar serta kesihatan umum.

Permasalahan ini menjadi lebih buruk dengan pembabitan agensi sepatutnya dipertanggungjawabkan memelihara kesejahteraan alam sekitar namun bertindak sebagai tali barut demi kepentingan wang.

Jika diteliti, beberapa kes alam sekitar yang didedahkan di akhbar-akhbar seperti semuanya melibatkan agensi penguat kuasa.

Sehubungan itu, langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak pantas melakukan siasatan berhubung kes pencemaran alam sekitar membabitkan aktiviti perlombongan bauksit dan pembalakan haram yang berlaku di Malaysia adalah wajar.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pasukan penyiasat SPRM sedang mengumpul serta mendapatkan maklumat mengenai kegiatan tersebut yang dipercayai berlaku di beberapa buah negeri.

“Jika didapati wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa, kita akan mengambil tindakan terhadap penjenayah-penjenayah alam sekitar yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai isu alam sekitar yang didedahkan mempunyai kaitan dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa sehingga dalang yang melakukan pencemaran dan kerosakan kepada alam sekitar terus bermaharajalela tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Malah, individu-individu tidak bertanggungjawab ini akan terus mengambil kesempatan sehingga tidak gentar melakukan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dan memudaratkan orang ramai jika tiada tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Sedarlah sejarah mengajar kita manusia tentang peradaban dan ini akan dimusnahkan jika tidak berdamai dengan alam sekitar. Tiada siapa yang boleh menafikan kepentingan alam sekitar berhubung dengan peradaban.

Bolehkah sesuatu yang dilakukan untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar?

Lebih menyedihkan, apa yang berlaku menunjukkan gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa bukan lagi perkara kecil malah ia semakin merebak dan mungkin sudah membarah dalam sesetengah agensi dengan bertindak sebagai tali barut demi kepentingan wang.

Justeru tindak SPRM amatlah tepat. Bersihkanatas agensi-agensi penguat kuasa kita. Kita percaya ramai lagi dalam kalangan anggota penguat kuasa yang jujur dan amanah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Tetapi kelompok ini turut terseret sama disebabkan segelintir anggota penguat kuasa yang terus mahu 'menghidangkan' rezeki haram kepada isteri dan keluarga mereka. Apapun mereka yang terlibat perlu bersedia menerima padahnya kerana penulis yakin golongan itu sudah pasti ada dalam radar SPRM.




Post a Comment